6.11.2023 – Majlis Penutup Karnival Kokurikulum PSMZA 2023
Karnival berlangsung bermula 31 Oktober hingga 2 November 2023 di Dewan Dagang PSMZA ini telah disertai oleh para pelajar PSMZA yang mengambil kursus kokurikulum berkredit pada Sesi 1:2023/2024. Sebanyak 24 kelas kokurikulum berkredit yang merangkumi 17 kelas sukan, 5 kelas unit beruniform dan 2 kelab.
Antara objektif utama penganjuran karnival ini adalah bagi meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran dan minat para pelajar dalam menyertai aktiviti sekaligus mencungkil bakat-bakat terpendam pelajar yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Karnival ini merupakan pertama kali diadakan bertujuan memberi galakan kepada para peserta supaya lebih aktif dan berminat dengan aktiviti-aktiviti sukan dan kokurikulum yang dianjurkan di samping mempromosikan PSMZA dikalangan peserta yang hadir antaranya pelajar sekolah sekitar daerah Dungun.
Di samping dapat memberi ruang untuk mengamalkan gaya hidup sihat, peserta juga secara tidak langsung dapat menjalin kerjasama dan mendapat maklumat dari agensi-agensi yang terlibat antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Dungun, Polis Daerah Dungun, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Dungun, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, Majlis Belia Daerah Dungun, RELA Dungun, Angkatan Pertahanan Awam Dungun, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hospital Dungun serta farmasi – farmasi sekitar Dungun.
Penglibatan agensi-agensi luar pada karnival ini sememangnya memberi impak yang cukup baik buat institusi ini dalam mengeratkan lagi ukhuwah dan jalinan kolaborasi disamping membantu meningkatkan lagi penguasaan serta keyakinan komunikasi pelajar PSMZA dengan pihak luar.
Turut diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Karnival Sukan Komuniti PSMZA, best practices, booth paling kreatif, booth polular dan booth terbaik. Majlis penutup dirasmikan oleh Pengarah PSMZA, Puan Hajah Zamra Derahman, turut hadir Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSMZA, Ts. Dr. Mohd Hafizil Mat Yasin, Ketua Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan, Abdul Hadi Bin Abdullah, Ketua Jabatan Akademik PSMZA dan Ketua Jabatan Kerajaan.