30.3.2023 - Latihan Pengungsian Bangunan & Demonstrasi Penggunaan Pemadam Api Di Kamsis PSMZA
Pada hari Khamis, 30 Mac 2023, sekitar jam 11.30 malam, Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman (JPKK) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah menganjurkan Latihan Pengungsian Bangunan dan Demonstrasi Penggunaan Pemadam Api dengan kerjasama Unit Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun. Objektif program adalah untuk mendedahkan pengetahuan dan simulasi praktikal kepada para pelajar PSMZA dalam menghadapi situasi kecemasan kebakaran serta bagaimana respon dan prosedur selamat yang betul.
Menurut Wan Salmizi Wan Mahmood, Ketua Warden Asrama PSMZA, latihan ini diadakan di lokasi bangunan yang menempatkan kediaman para pelajar di kampus. Seramai 800 orang penghuni Asrama terlibat dalam latihan ini bersama-sama dengan Warden Asrama yang bertindak sebagai pemantau program yang dilaksanakan serta 32 orang pelajar yang terdiri daripada AJK pelaksana di bawah JPKK. Program dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Ts.Dr Mohd Hafizil Mat Yasin. Para pelajar diberikan pendedahan mengenai laluan keselamatan yang telah dikhaskan dan perlu diambil dalam situasi kecemasan. Selain itu, demonstrasi penggunaan pemadam api juga telah dilakukan untuk memastikan para pelajar memahami cara penggunaannya dan dapat bertindak dengan segera sekiranya kejadian kebakaran berlaku.
Dengan pelaksanaan program seumpama ini, PSMZA telah berjaya memenuhi keperluan yang penting dalam memastikan para pelajar dilengkapi dengan pengetahuan dan latihan berkaitan apabila menghadapi kecemasan ketika berada di kampus. Kesedaran keselamatan sememangnya perlu diberikan kepada para pelajar kerana ia membantu meningkatkan kesedaran dan meminimumkan risiko terhadap kejadian kecemasan yang tidak diingini.
Pengarah PSMZA, YBrs Puan Hajah Zamra Derahman mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun atas usaha dan kerjasama dalam menjayakan latihan ini. Kepada para pelajar PSMZA, diharapkan agar dapat memanfaatkan pengetahuan dan latihan yang diberikan untuk memastikan keselamatan diri serta orang lain di sekeliling.