Pengenalan

SEJARAH PSMZA

Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah dirasmikan pada 24 Julai 2006 setelah mendapat limpah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda yang ke-44. Sebelum itu politeknik ini dikenali dengan nama ‘ Politeknik Dungun Terengganu’. PSMZA memulakan operasi sejak Januari 2001 di Sekolah Menengah Teknik Dungun dan kemudiannya berpindah ke kampus sendiri mulai 8 Oktober 2001. Sesi akademiknya bermula pada Disember 2001 dengan pengambilan seramai 293 orang pelajar dan kini PSMZA berjaya mengeluarkan graduat seramai 17,312 ( 2003 - 2016).

PSMZA terletak di kaki Bukit Bauk, lebih kurang 8 km dari Bandar Dungun, 88 km dari Kuala Terengganu dan 125 km dari Kuantan. PSMZA berkeluasan 76.6 ekar, merangkumi pembangunan blok akademik, bengkel & makmal, dewan kuliah, bilik kuliah, bilik seminar, bilik TECC, kamsis yang boleh menempatkan 1412 pelajar, Pusat Sumber, Pusat Islam, kompleks sukan, padang softball, gelanggan futsal, koperasi, kantin, kafetaria dan pelbagai kemudahan lain lagi. Sebanyak 9 program di peringkat diploma ditawarkan di PSMZA dan 1 program Pra Diploma Sains. PSMZA mempunyai 4 jabatan induk iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi dan disokong oleh 2 jabatan sokongan iaitu Jabatan Matematik, Sains & Komputer serta Jabatan Pengajian Am. Jumlah keseluruhan kakitangan adalah 462 orang yang merangkumi kakitangan akademik (352 orang) dan sokongan akademik (110 orang).

 

PENGENALAN

Seiring dengan matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi dalam meperkasakan Technical and Vocational Education and Training (TVET), PSMZA sebagai salah sebuah institusi peneraju utama bidang TVET telah merangka beberapa langkah bagi meningkatkan akses TVET untuk memberi peluang kepada lebih ramai anak muda negara ini menceburi bidang TVET dalam era pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Dalam transformasi politeknik , PSMZA telah diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Center of Technology (CoT) dalam bidang automotif yang memainkan peranan yang penting dalam menentukan halatuju PSMZA pada masa akan datang. Justeru, PSMZA telah meningkatkan kecemerlangan dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran di samping memperbanyakkan kolaborasi dengan industri dan universiti di peringkat dalam atau luar negara, penyelidikan dan inovasi serta penerbitan ilmiah khususnya dalam bidang automotif. PSMZA juga bergiat aktif dalam program komuniti atau Corporate Social Responsibility’ (CSR) yang dianjurkan di peringkat tempatan atau pihak berkuasa tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa melalui penubuhan Briged Yayasan Politeknik Malaysia (YES Politeknik) yang telah dianggotai oleh pelajar PSMZA. Antara aktiviti CSR yang telah dijalankan adalah seperti membantu mangsa banjir, ibu-ibu tunggal, warga emas, penduduk miskin, pendawaian elektrik dan pelbagai lagi aktiviti. Melalui CSR ini, PSMZA telah banyak melahirkan pelajar-pelajar yang berjiwa murni dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik. Penglibatan PSMZA dalam aktiviti kemasyarakatan telah diterjemahkan juga dalam pembinaan Poly-Home di daerah Besut dan Poly Kasih di daerah Besut dan Tawau, Sabah yang telah mendapat penghargaan yang besar oleh masyarakat setempat.

PSMZA terus melakarkan kejayaan dengan mendapat banyak pengiktirafan dalam bidang penyelidikan dan inovasi dengan terhasilnya kertas-kertas penyelidikan yang berimpak tinggi serta inovasi yang diguna pakai dalam industri dan komuniti. Selain itu, PSMZA juga meletakkan fokus kepada usaha mengarusperdanakan pendidikan keusahawanan. Objektif usaha ini adalah untuk meningkatkan daya keusahawanan di dalam kalangan semua pelajar, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Bidang ko-kurikulum di PSMZA juga telah diberi penekanan yang penting di mana PSMZA telah diangkat menjadi Pusat Pembangunan Sukan Sofball bagi Politeknik Malaysia. di mana PSMZA telah berjaya mendapat Johan dalam banyak kejohanan yang disertai sepanjang penubuhan pasukan Sofball di PSMZA dan kecemerlangan PSMZA terus dilakarkan dalam acara silat dengan merangkul beberapa kejuaraan. Bagi memastikan kualiti perkhidmatan PSMZA berjaya mendapatkan Pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam oleh pihak MAMPU, Pensijilan OSHAS18001:2007 & MS 1722:2011 oleh NIOSH , Pensijilan ISO 9001:2008 oleh SIRIM dan program pengajian yang ditawarkan di PSMZA telah diakreditasi oleh Malaysian Qualification Agency (MQA).

 

Pensijilan

 PSMZA telah menerima Pensijilan MS ISO 9001:2008 bagi tempoh 6 Januari 2015 - 8 Januari 2018

 

PSMZA telah menerima Pensijilan EKSA pada 15 Jun 2015 sehingga 14 Jun 2017

 

 PSMZA telah menerima Pensijilan OHSAS  pada 15 Julai 2016 sehingga 14 Julai 2019

PSMZA telah diakreditasi oleh MQA bagi Program DKA, DEP, DIP, DEM, DMK, DKM, DTP, DAD pada 21.01.2013 manakala Program DTK pada 08.02.2013.

Hubungi Kami

POLITEKNIK SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN

Km 8, Jalan Paka, 23000 Dungun, Terengganu Darul Iman. 
Tel : 09-8400800
Faks : 09-8458781 
Emel : webmaster[at]psmza.edu.my

 

Informasi Web