6.4.2023 - Koperasi PSMZA Dinobatkan Top 350 Koperasi Terbaik Di Malaysia
Sekali lagi tercatat dalam lipatan sejarah pembangunan Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (KOSMIZ) yang berjaya dinobatkan sebagai salah sebuah Top 350 Koperasi Terbaik Di Malaysia daripada jumlah hampir 4500 buah koperasi yang ada. Penganugerahan itu diberika oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Permai Hotel, Kuala Terengganu. Penilaian bagi pengiktirafan anugerah ini adalah merangkumi aspek pengurusan kewangan, kompetensi pengurusan, pematuhan perundangan, kelestarian perniagaan, kepuasan anggota serta keyakinan masyarakat.
Proses penilaian dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian SKM berdasarkan piawaian ketat yang telah ditetapkan. Penyampaian sijil ini telah disempurnakan oleh Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar Dan Pembangunan) SKM yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada Ibu Pejabat SKM Kuala Lumpur, Pengerusi-Pengerusi Koperasi terpilih serta tetamu-tetamu jemputan dalam suasana Majlis Penyampaian Sijil Dan Iftor Puasa Ramadan pada 2 April 2023 di Permai Hotel Kuala Terengganu. Pengerusi Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Tuan Haji Kairol Azaha Mohamed hadir bagi menerima sijil pengiktirafan tersebut.
Kejayaan KOSMIZ ini adalah pelengkap di atas kejayaan sebelumnya yang pernah dinobatkan sebagai koperasi IPT terbaik Negeri Terengganu dan dicalonkan ke peringkat kebangsaan sempena sambutan 100 Tahun Koperasi pada tahun 2022. Semoga kejayaan ini menjadi kebanggaan seluruh warga PSMZA dan memberi suntikan semangat untuk terus bersama membangunkan KOSMIZ.