3.4.2023 - Program Imarah Ramadan (IMRAN) PTPTN Bersama PSMZA
Program tersebut berlangsung selama sehari bertempat di pekarangan kantin PSMZA. Program memasak dan mengagihkan bubur lambuk itu hasil kolaborasi PSMZA melalui MPP PSMZA dengan kerjasama PTPTN. Ia merupakan satu program khidmat sosial (CSR) pihak PTPTN dengan PSMZA bagi berkongsi rezeki sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak.
Penyediaan bubur lambuk itu disediakan secara gotong royong dalam kalangan kakitangan PSMZA, kakitangan PTPTN dan para pelajar. Sebanyak hampir 1000 bekas bubur lambuk berjaya disediakan untuk diagihkan kepada pelajar dan kakitangan PSMZA, pengawal keselamatan, pekerja kebersihan, dan juga komuniti sekitar.
Program telah disempurnakan oleh YBrs Encik Mohd Rusdi Ismail, Pengurus Besar Kanan PTPTN. Turut hadir ialah YBrs Ts Mohyiddin Salleh, Timbalan Pengarah Akademik dan Ts Dr Mohd Hafizil, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik. Turut sama turun padang ialah Puan Azizah Nasik@Abd Rashid, Pengurus Besar PTPTN Negeri Terengganu dan Encik Jusuraimi Jusoh, Pengurus PTPTN Dungun.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, YBrs Puan Hajah Zamra Derahman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh PTPTN dan tidak lupa juga kepada semua warga kerja jawatankuasa kakitangan serta pelajar yang menjayakan program ini. Beliau juga turut memohon maaf kerana tidak dapat bersama dalam program hari ini kerana menghadiri Mesyuarat Pengarah PolyCC di Crown Crystal Hotel, Petaling Jaya. Beliau dihubungi Unit Komunikasi Korporat PSMZA lewat petang ini ketika diminta mengulas program tersebut.
Semoga program sebegini dapat dilaksanakan lagi di masa akan datang sekali gus dapat menghidupkan amalan bersedekah di bulan Ramadan.