15.9.2023 - Graduan Dan Majikan Sama Hadir Majlis Konvokesyen PSMZA
Nor Nisha Athirah Azmi, graduan lulusan Kejuruteraan Mekanikal (Mekatronik) PSMZA hadir pada Sidang 3 Majlis Konvokesyen PSMZA Kali Ke 20 pada 13 September 2023 yang lalu. Dalam pada itu, majikannya iaitu Encik Idris Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Teknologi PETRONAS (INSTEP) merupakan VVIP pada sidang tersebut. Saudari Nor Nisha Athirah merupakan pelajar sesi kemasukan Jun 2019 yang telah menamatkan pengajian pada Jun 2022 dalam tempoh tiga tahun. Beliau telah diterima bekerja di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) pada 1 November 2022 sebaik sahaja tamat pengajian di PSMZA.
Di INSTEP, Nor Nisha Athirah dilantik sebagai pengurus dalam mengendalikan program seperti Certified Environmental Professional in Scheduled Waste Management (CePSWaM) dan Certified Environmental Professional in the Operation of Industrial Effluent Treatment Systems (Biological Processes) (CePIETSO-BP). Dalam Majlis Konvokesyen itu juga beliau turut dianugerahkan Pingat Ketua Jabatan kerana kecemerlangannya dalam akademik. Beliau yang berasal dari Dungun itu sangat berbangga dengan pencapaiannya dan cukup rasa bertuah kerana diploma yang diterimanya hari ini disampaikan sendiri oleh majikannya. Nor Nisha Athirah datang menemui majikannya, Encik Idris Ibrahim di Lobi Blok Pentadbiran PSMZA seusai sahaja majlis pada hari tersebut.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Puan Hajah Zamra Derahman berkata, "Dalam usaha menjadikan PSMZA sebagai IEC - Industry Educational Center, hubungan baik bersama industri harus dipertingkatkan lagi dengan menjemput 'industry player' ke majlis seperti ini. Usaha ini diharap dapat membuka ruang dan peluang kepada graduan untuk diterima oleh industri sekaligus dapat meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan," ujarnya lagi. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi Korporat PSMZA bagi mengulas perjalanan majlis konvokesyen tersebut.