14.9.2023 – Rangkuman Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Kali Ke-20 Tahun 2023
Konvokesyen PSMZA telah melabuhkan tirai sebaik sahaja selesai ketiga-tiga Sidang yang melibatkan empat Jabatan Induk iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi bermula 11 September sehingga 13 September 2023.
Majlis Konvokesyen pada tahun ini telah meraikan seramai 1198 graduan dengan membawa kepada angka almuninya kepada 26,677. Mengangkat tema “Graduan TVET PolyCC, Digitalisasi Malaysia MADANI”, PSMZA sememangnya berperanan melahirkan graduan TVET yang berkemahiran tinggi seiring dengan perkembangan teknologi digital Malaysia.
Sesi penganugerahan Diploma telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Zainab binti Othman, Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) pada Sidang 1, YBrs. Tuan Haji Mohd Nasar bin Othman, Pengarah Eksekutif, Elektro Serve (M) Sdn. Bhd pada Sidang 2 dan YBrs. Encik Idris bin Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) pada Sidang 3.
Majlis Konvokesyen PSMZA pada tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila seramai tiga (3) graduan dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) terpilih untuk menerima biasiswa penuh dan tajaan pengajian oleh Yayasan PKT berjumlah RM280,500.00. Rakan kolaborasi PSMZA, Seikou Systec juga berbesar hati memberi tajaan Anugerah Industri kepada dua (2) graduan dari Jabatan Kejuruteraan Eletrik berjumlah RM1,000.00 setiap seorang.
Kadar kebolehpasaran graduan PSMZA bagi tahun 2022 meningkat dengan peratusan graduan yang bekerja adalah sebanyak 95.05% berbanding KPI yang ditetapkan 87%.
Pihak pengurusan PSMZA mengucapkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih buat pada dif-dif jemputan yang sudi hadir menyempurnakan dan memeriahkan Majlis Konvokesyen PSMZA pada tahun ini.