16.11.2023 - MaSciComp STEM Day 2023
Jabatan Matematik, Sains & Komputer (JMSK) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Dungun (PPD) telah menganjurkan Program MaSciComp STEM Day 2023. Program ini telah diadakan selama dua hari iaitu 14-15 November 2023 (Selasa dan Rabu) di Dewan Dagang, PSMZA.
Tujuan program ini adalah untuk menyahut seruan kerajaan bagi memperkasakan STEM dalam pendidikan. Terdapat tiga program utama di bawah MaSciComp STEM Day 2023 iaitu DIY Mini Project, Math Champ dan juga Explorace . Selain dari itu, terdapat juga aktiviti-aktiviti yang berasaskan STEM diadakan seperti Soduku, Congkak Math, Metal Puzzle, T-rex Tangram, Balingan bola bertuah, Dam ular gergasi, Dart dan Catapult. Pameran daripada kumpulan Automotive Centre of Training ATec - COT PSMZA juga turut mengambil tempat dalam program ini seperti Robot Warrior, Buggy Car dan juga mesin 3D Printer. Selain dari itu, Portable Dome juga ada disediakan oleh Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) bagi tujuan menarik minat pelajar-pelajar sekolah berkaitan dunia sains dan menawarkan pengalaman menonton video secara 3 dimensi (3D).
Terdapat 4 buah sekolah menengah dan sebuah Kolej Vokasional turut mengambil bahagian dalam mempamerkan inovasi-inovasi mereka masing – masing. Antaranya ialah SMK Sultan Omar, SMK Balai Besar, SMK Seri Paka, SMK Paka dan Kolej Vokasional Dungun.
Program ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelajar-pelajar dan guru dari 10 buah sekolah rendah iaitu SK Batu 7, SK Balai Besar, SK Gong Pasir, SJKC Sin Chone, SK Kuala Dungun, SK Sultan Omar, SK Jerangau, SK Batu 48, SK Sura dan SK Bandar Dungun.
Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Ts. Mohyiddin bin Salleh, Timbalan Pengarah Akademik PSMZA dan juga En. Rosdi bin Hussin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun (Sektor Pembelajaran) serta Pn. Fatimah Syam binti Ghazali selaku Pegawai SISC+ Sains dan Matematik.
Secara keseluruhannya, program MaSciComp STEM Day 2023 yang julung-julung kali diadakan ini berlangsung dengan jayanya dan pelajar didedahkan dengan keseronokan belajar matematik dan sains, yang mana tidak hanya bertumpu di kelas/bilik kuliah sahaja tetapi boleh diaplikasikan di luar kelas/bilik kuliah.