25.5.2023 - Program Corporate Social Responsibility (CSR) PSMZA Penerokaan Khazanah Alam
Program tersebut telah dianjurkan oleh Kelab Mesra Alam PSMZA bertempat di Pusat Konservasi & Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun Terengganu. Ia merupakan program kesinambungan daripada kemahiran khusus yang dipelajari dalam kursus MPU24021 – Kelab (Mesra Alam). Peserta yang terdiri daripada 60 orang pelajar itu didedahkan dengan kemahiran asas aktiviti mesra alam antaranya kepentingan penjagaan alam sekitar dan mengenalpasti serta membezakan jenis-jenis pencemaran yang sering berlaku pada masa kini. Program ini dijalankan secara berkumpulan. Sesi taklimat disampaikan oleh Puan Siti Noraisyah Abdullahlim, Pegawai Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang. Semasa program berjalan, pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan besar untuk membantu pegawai pusat berkenaan melaksanakan pengambilan data ringkas berkenaan penyu dan tuntung laut. Peserta juga turut membantu melaksanakan penyelenggaraan di sekitar pusat koservasi tersebut termasuk tapak pelepasan penyu, tempat penetasan telur penyu, kolam penyu dan tuntung laut serta kawasan sekitar pusat konservasi. Mereka juga terlibat dalam membersihkan kawasan persisiran pantai berhampiran dengan Pusat Konservasi dengan pemantauan oleh Pegawai Pusat Konservasi. Kemuncak acara program diakhiri dengan pelepasan anak penyu. Program sebegini dapat menanamkan rasa cinta kepada flora dan fauna ke dalam diri sanubari pelajar.