9.5.2023 - Program Mahabbah PSMZA 2023 Sempena Sambutan Aidilfitri 1444H
Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Kelab Kakitangan PSMZA (SClub) dan Majlis Perwakilan Pelajar PSMZA (MPP) telah menganjurkan program hari ini bertempat di Tapak Pesta Konvokesyen PSMZA. Program yang menjadi rutin setiap kali menjelang Aidilfitri itu diadakan secara sederhana tetapi meriah dengan kehadiran semua staf dan pelajar serta jemputan-jemputan daripada agensi luar dan komuniti setempat. Sementara itu, program sambutan kali ini dimulakan dengan Majlis Perhimpunan Bulanan Mei 2023. Seusai sahaja agenda perhimpunan bulanan, majlis diteruskan dengan menjamu selera juadah yang disediakan oleh pihak penganjur. Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu raya yang dimainkan sendiri oleh Kelab Kebudayaan pelajar-pelajar PSMZA. Pengarah PSMZA, YBrs Puan Hajah Zamra Derahman kelihatan 'tidak menang tangan' melayani tetamu yang hadir dan masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan. Terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur terutama pihak JHEP dan syabas di atas kejayaan penganjuran program yang sangat meriah.