28.8.2023 - Tangguh Temujanji Rawatan Kerana Menghantar Anak Daftar Masuk PSMZA
Hari ini, PSMZA menerima rombongan satu keluarga yang menghantar anak masuk daftar belajar dalam keadaan ibu berkerusi roda. Pelajar berkenaan, Ahmad Farhan Asyraf Yusri telah hadir mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu Sesi I 2023/2023 dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Awam. Ibunya, Puan Naimah Ali turut sama hadir dan tidak melepaskan peluang 'merayakan' perasaan gembira kerana beliau dapat menyambung pengajian di sini. Puan Pengarah PSMZA, Hajah Zamra Derahman sempat meluangkan masa menyantuni seluruh ahli keluarga ini dan sempat menasihati Ahmad Farhan agar belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya dan dapat membantu semua ahli keluarganya. Ibu Ahmad Farhan mengalami strok dan menyebabkan beliau tidak boleh berjalan seperti biasa. Beliau telah membuat temujanji dengan hospital untuk rawatan pembedahan di kepala kerana ada pendarahan di bahagian otak. Rawatan tersebut sepatutnya berlaku hari ini, namun beliau tangguhkan dahulu kerana ingin bersama-sama menghantar anak daftar masuk PSMZA. Tahniah buat Ahmad Farhan dan seluruh keluarga ini. Kami di PSMZA mendoakan kesembuhan buat puan Naimah Ali.